Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – “Kami masih perlukan lebih kurang RM500,000 untuk anak kami jalani rawatan pembedahan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba).”
Itu rintihan Roshizam Rosli, 50, bapa kepada Nurul Syahira Aliesya, 17, yang kini menghidap kanser neuroblastoma atau kanser saraf tahap empat.
Anak ketiganya itu dijadual menjalani rawatan penting di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada November depan dan ia peluang terakhir untuk menyelamatkan nyawanya.
Roshizam berkata, setakat ini dana yang berjaya terkumpul hanya RM32,000 hasil sumbangan orang ramai dan masih berbaki kira-kira RM500,000 daripada jumlah keseluruhan RM574,740 yang diperlukan.
“Kalau dana berjaya dikumpul dan rawatan dapat dijalankan, besar kemungkinan anak saya akan sembuh dan dapat hidup seperti remaja lain, sambung belajar, kembali ke sekolah. Tetapi kalau tak cukup dana, doktor kata dia kena bergantung pada ubat hayat yang perlu diambil seumur hidup.
“Kalau terlewat makan, kanser boleh merebak dengan cepat dan kami tidak tahu apa kesan implikasi pada dirinya,” katanya di rumahnya di Flat Taman Semarak dekat Nilai, di sini.
Nurul Syahira telah melalui pelbagai fasa rawatan iaitu empat kali pembedahan membuang ketumbuhan sejak November 2024, 12 sesi radioterapi, dua kali kemoterapi dan kini bakal memulakan pengambilan ubat bermula hari ini sebelum rawatan Qarziba.
Roshizam berkata, penyakit Nurul Syahira itu bermula Mac tahun lalu selepas dia mengadu sakit perut dan hanya disangka gastrik.
“Selepas beberapa pemeriksaan, benjolan di lehernya bukan beguk, tetapi tanda awal kanser saraf (neuroblastoma). Kini ia telah berada di tahap paling kritikal iaitu tahap empat,” katanya.
Katanya lagi, dia mengakui sedikit buntu dan tidak dapat tidur lena apabila memikirkan kos rawatan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu tinggi.
“Saya cuma kerja kilang cat, gaji sekitar RM2,200 sahaja. Mana mampu tanggung kos setinggi ni. Hospital dah tanggung 80 peratus untuk rawatannya sebelum ini. Malah, Nuru Syahira pernah memberitahu ibunya supaya tidak perlu menjalani rawatan dan dia janji akan kuat terusnya perjuangan melawan kansernya itu,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban Roshizam boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank 155109002136 atas namanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami perlukan lagi RM500,000 untuk Syahira’ appeared first on Kosmo Digital.