Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Anti Bully Centre (ABC) sebagai platform menerima aduan dan cadangan berkaitan isu buli daripada orang ramai.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pusat itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada mangsa atau saksi kejadian buli membuat laporan tanpa rasa takut, selain menjadi saluran cadangan bagi membendung perbuatan tersebut.
“Kita ini organisasi kecil sahaja, tetapi sudah tiba masanya kita bertindak. Sesiapa sahaja boleh menghubungi kami untuk membuat aduan.
“Ramai yang hubungi saya sebelum ini takut membuat laporan kerana dibelenggu ketakutan luar biasa,” katanya pada pelancaran ABC di sini hari ini.
Menurutnya, ABC bukan sahaja berperanan menerima aduan, malah akan menghalang kejadian buli, meningkatkan kesedaran masyarakat dan memberi cadangan penyelesaian.
“Kita mahu hentikan perangai tidak bertamadun ini. Kita kena jadi cerdik supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk menteri, Ahli Parlimen dan masyarakat memberikan sokongan terhadap usaha itu.
“Kami di PPIM telah memulakan langkah ini. Kami boleh laksanakan, insya-Allah, tetapi dengan syarat semua pihak boleh membantu,” jelasnya.
“Inilah salah satu solusi. Kalau ada yang mahu bersama, mari kita buat dan cadang bersama kerana perkara ini mesti dihentikan,” katanya.
Nadzim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan buli boleh menghubungi talian 013-611 6666. – KOSMO! ONLINE
The post PPIM tubuh pusat aduan anti buli appeared first on Kosmo Digital.