Auto Added by WPeMatico

KUALA NERUS – Sebuah bot membawa sisa buangan sebuah resort di Pulau Redang, dekat sini, tenggelam sewaktu dalam perjalanan ke tanah besar, pada Selasa lalu.
Salah seorang penduduk Shahrunizam Yusof, 30, mendakwa, sewaktu kejadian, bot tersebut baharu sahaja selesai mengangkut sampah dari sebuah resort di Pasir Panjang, di sini.
Dia mendakwa bot yang sarat dengan sampah terbabit dalam perjalanan ke Jeti Merang, Setiu sebelum sisa buangan terbabit kemudiannya dihantar ke pusat pelupusan sampah berhampiran menggunakan lori.
“Bot itu karam kira-kira 50 meter dari dataran. Pada awalnya hanya sebahagian bot yang tenggelam namun lama kelamaan hanya tinggal bumbung.
“Kesemua sampah yang dianggarkan lebih 100 kilogram (kg) turut terapung di permukaan air sebelum sebahagiannya tenggelam,” dakwanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular klip video di media sosial memaparkan keadaan bot itu tenggelam dengan sampah sarap terapung di permukaan air.
Shahrunizam mendakwa, meskipun sampah-sampah tersebut telah dikutip, namun masih ada sisa pepejal itu yang berada di bawah bot di lokasi kejadian.
“Kita bimbang ia boleh menjejas dan mencemarkan ekosistem marin di pulau peranginan ini. Harap pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sampah terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bot bawa 100 kg sampah karam di perairan Pulau Redang appeared first on Kosmo Digital.