Auto Added by WPeMatico

SEMPORNA – Seorang anggota tentera maut manakala seorang lagi masih hilang ketika melaksanakan Operasi Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025 di perairan Pulau Mataking, semalam.
Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Pangkalan Operasi Hadapan Kem Kukusan, Tawau memaklumkan, kedua-dua anggota itu daripada Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD).
Katanya, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20.
“Muhammad Irfan ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bantuan perubatan diberikan,” kata kenyataan itu, malam ini.
Jelas kenyataan itu, seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih belum ditemui.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim dan pasukan sahabat,” ujarnya.
Jelas kenyataan itu, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada kejadian lemas namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sebarang perkembangan berhubung insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Prebet maut, seorang lagi hilang ketika operasi di Semporna appeared first on Kosmo Digital.