Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi atau PU Abu memaklumkan dia bersama 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Menurut sebuah video di Instagramnya, mereka sepatutnya berlepas pulang ke Malaysia malam ini, namun terpaksa menunggu tanpa kepastian selepas dimaklumkan tiada tempahan tiket penerbangan dibuat oleh pihak agensi.
Katanya, dia bersama jemaah lain terpaksa bermalam satu malam lagi tanpa mengetahui nasib mereka sama ada dapat pulang ke negara ataupun tidak pada esok.
“Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam agensi ini nampak macam tiada usaha yang kuat untuk terbangkan kami seperti masa yang dijanjikan.
“Saya dah berkomunikasi dengan pihak kedutaan dan tujuan saya buat video ini kalau boleh bertujuan untuk panjangkan dan mengharapkan ada seseorang yang baik hati boleh menerbangkan kami semua secepat mungkin,” katanya.
Katanya, dia bersama para jemaah lain bimbang kerana tidak tahu bilakah mereka akan pulang dan perkara itu juga melibatkan kos perbelanjaan seperti tempat tinggal, makan dan kenderaan.
“Saya kasihan melihat raut wajah para jemaah yang rata-ratanya berumur 40-an, 50-an, dan 60-an yang dilihat kecewa, keletihan mengerjakan umrah dan tiba-tiba perkara ini berlaku.
“Saya harap video ini boleh dipanjangkan dan sekiranya video ini sampai kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab, usaha sehingga ke titisan darah terakhir, selesaikan dengan cara seorang lelaki selesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PU Abu, 42 jemaah terkandas di Jeddah appeared first on Kosmo Digital.