Auto Added by WPeMatico

KUALA NERUS – Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang akan ditentukan oleh Majlis Presiden gabungan pembangkang tersebut.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, cadangan partinya agar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Pas pula mencadangkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ‘poster boy’ PN tidak harus dipolemikkan.
Beliau berkata, ia sekadar cadangan awal yang perlu diperhalusi secara bersama menerusi Majlis Presiden PN.
“Itu hak masing-masing untuk mencalonkan (sesiapa) tetapi akhirnya Majlis Presiden PN yang akan buat keputusan. Sudah nanti, semua pihak mesti akur dan menyokong,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Karnival Pantai Terengganu di Teluk Ketapang di sini malam tadi.
Razali berkata, saranan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar agar Pas mengambil alih kepimpinan PN amat dihormati, tetapi ia juga perlu dipersetujui oleh majoriti kepimpinan dalam Majlis Presiden gabungan pembangkang tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu tersebut berkata, sudah menjadi lumrah, setiap parti politik mempunyai strategi tersendiri, namun ia tidak boleh mengatasi persetujuan bersama dalam gabungan dibina.
“Itu pandangan beliau (Ahmad Samsuri) dan memang Pas mempunyai majoriti (kerusi Parlimen dan Dewa Undangan Negeri), tetapi keputusan akhir tetap di tangan Majlis Presiden. Tidak perlulah kita kalut atau kecoh, biarlah peringkat tertinggi (PN) tentukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Majlis Presiden tentukan calon PM PN, Bersatu atau Pas appeared first on Kosmo Digital.