Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan kereta jenis Proton Iswara, Wira dan Waja sedan paling banyak digunakan oleh sindiket penyeludupan untuk membawa sebelum menyeludup petrol ke Thailand.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kesemua kereta itu dikesan selepas pihaknya menyita sebanyak 75 buah kereta yang bernilai RM451,500 selepas dipercayai terlibat kegiatan penyeludupan bermula Januari lalu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, tangki kereta tersebut akan diubah suai untuk digunakan semasa kegiatan penyeludupan petrol.
“Berdasarkan statistik, kereta jenis Proton Iswara, Wira dan Waja sedan merupakan antara kenderaan yang paling banyak digunakan oleh penyeludup untuk menyeludup petrol.
“Penyeludup menggunakan kereta sendiri yang telah diubah suai untuk mengisi minyak secara berulang sebelum membawa petrol ke stor haram atau lokasi transit di kawasan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, kereta tersebur dijadikan seperti tangki bergerak kerana ia boleh menyimpan lebih banyak petrol berbanding tangki asal.
Menurutnya, KPDN Kelantan akan menjalankan pemantauan selama 24 jam melalui pelbagai kaedah termasuk rondaan berkala dan anggota berpakaian preman di stesen-stesen minyak kawasan sempadan.
“Tugasan itu dilakukan secara bergilir-gilir bagi memastikan pengawasan di kawasan sempadan terus berjalan tanpa henti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Proton Iswara, Wira dan Waja paling banyak digunakan untuk seludup petrol appeared first on Kosmo Digital.
