Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Lebih 100 peserta menyertai Program Kayuhan Sejuta Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2025 dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, program itu telah mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut berangkat menyempurnakan Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025.
Katanya, penganjuran program kali kedua ini merupakan salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Tuanku Raja Muda Perlis turut mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf selain sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga orang anak asnaf semasa Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN.
“Selain itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah merangkumi wang tunai dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 60 orang pelajar,” katanya di sini, hari ini.
Selain itu katanya, sebagai usaha menyokong akses pendidikan tinggi, turut diadakan penyampaian sumbangan Bantuan Lestari Siswa Madani dengan jumlah keseluruhan bernilai RM17,500.
“Sumbangan ini telah diberikan kepada 35 orang pelajar kurang berkampuan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
“Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara one off yang akan disalurkan ke akaun bank pelajar,” katanya.
Pada program yang sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
“PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyerbarluas manfaat Simpan SSPN yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 100 sertai Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN appeared first on Kosmo Digital.