Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Kes measles atau demam campak di Melaka dijangka menurun pada tahun ini susulan keberhasilan pelaksanaan program imunisasi tambahan berskala kecil kepada kanak-kanak sejak 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, demam campak telah menunjukkan trend menaik sejak 2021 dengan lima kes diikuti 18 kes pada 2022, 34 kes (2023) dan sebanyak 52 kes pada tahun lepas.
Beliau berkata, pemberian imunisasi tambahan dalam skala kecil sejak dua tahun lalu di setiap daerah telah mula menunjukkan hasil yang positif.
“Kita lihat untuk setengah tahun ini jumlah kes tidak terlalu banyak berbanding tahun lepas disebabkan kesan aktiviti yang kita telah laksanakan sejak 2023. Kita tidak beri banyak (vaksin) kerana dibuat dalam skala kecil.
“Pemberian imunisasi tertumpu di kawasan berisiko tinggi yang pernah merekodkan kes di sekitar daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah. Setakat ini tiada kes membabitkan kematian tetapi hanya melibatkan jangkitan pada paru-paru,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) di Klinik Desa Paya Rumput di sini, lewat petang semalam.
Tambah Hee Sem, seramai 22,879 daripada 46,500 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 59 bulan telah telah menerima vaksin MR dan MMR dalam tempoh 10 hari sejak program itu dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 4 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Program imunisasi kurangkan kes demam campak di Melaka appeared first on Kosmo Digital.