Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi telah dimanfaatkan oleh penerima Program Budi Madani RON95 (Budi95) melibatkan nilai jualan RM2.66 bilion sehingga 31 Oktober lalu.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah penggunaan itu melibatkan kira-kira 13.1 juta rakyat yang layak iaitu kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan yang layak iaitu seramai 16.5 juta orang.
Beliau berkata, berdasarkan angka itu memperlihatkan sistem penyasaran subsidi petrol berfungsi dengan baik serta diterima oleh majoriti pengguna.
“Setakat ini, dalam bulan pertama pelaksanaan Budi95, boleh dikatakan berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil.
“Secara amnya ia tidak mengakibatkan kerumitan atau barisan panjang menunggu oleh pengguna dan pengguna semakin biasa menggunakan Budi95,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang bertanyakan tentang status pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan bagaimana kerajaan memastikan hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menikmati manfaat tersebut.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, kerajaan juga akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan sistem Budi95 dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan. – KOSMO! ONLINE
The post 1.33 bilion liter subsidi RON95 dimanfaatkan penerima Budi95 appeared first on Kosmo Digital.