Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila mencatat unjuran pencapaian 49 peratus menjelang tahun 2030, jauh mengatasi purata global iaitu hanya 18 peratus.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2025 yang diadakan pagi ini.
Menerusi satu hantaran di laman X, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen padu kerajaan dalam memastikan pembangunan negara berjalan seiring dengan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih banyak perkara perlu diberi perhatian terutama membabitkan 10 Fokus Utama SDG negara.
“Antaranya termasuk isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas dan peluang pekerjaan buat golongan kurang upaya,” katanya.
Anwar berkata, kejayaan mencapai sasaran SDG tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak.
“Usaha ini menuntut kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta serta masyarakat sivil agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan MADANI kekal komited terhadap agenda SDG yang akan digerakkan seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau menambah, komitmen itu menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan yang terangkum, mampan dan sejahtera.
“Segala usaha ini adalah demi masa depan anak-anak kita dan bumi yang kita cintai,” katanya.- KOSMO! ONLINE.
The post Malaysia capai matlamat SDG appeared first on Kosmo Digital.