Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian insentif berasaskan prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, insentif itu terpakai bagi anggota berpangkat Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).
Menurutnya, kerajaan sedar bahawa pemberian BIPs yang diberikan ketika ini terhad sehingga Pegawai Waran II Setaraf (Gred Z6) dan Pegawai Waran I Setaraf (Gred Z7) sahaja, membabitkan mereka yang memenuhi tempoh perkhidmatan enam tahun di gred semasa.
“Jadi kita setuju perluaskan insentif ini kepada anggota lain-lain pangkat ATM iaitu Sarjan Setaraf (gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (gred Z5).
“Tempoh perkhidmatan yang melayakkan insentif BIPs bagi anggota LLP ATM bagi Gred Z4 hingga Z7 dipendekkan dari enam tahun kepada empat tahun.
“Insentif ini akan memberi faedah kepada 3,789 anggota dengan implikasi sebanyak RM6.47 juta setahun dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan memperluaskan tujuh Kelayakan Masuk Pelbagai bagi skim perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) membabitkan Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan. – KOSMO! ONLINE
The post Insentif berasaskan prestasi anggota ATM diperluaskan appeared first on Kosmo Digital.