Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang pelatih industri didakwa tersilap menghantar satu e-mel sulit kepada seluruh jabatan, sekali gus membongkar budaya kerja toksik di sebuah syarikat.
Perkongsian oleh Karl Isaax di aplikasi Threads menceritakan kejadian yang menyebabkan suasana pejabat bertukar tegang selepas pekerja membaca e-mel yang dipercayai mengandungi laporan audit dalaman.
Difahamkan, laporan itu sebenarnya sebahagian daripada projek tahun akhir pelatih terbabit.
“Dia tiba-tiba beritahu secara tidak sengaja telah menghantar e-mel draf kepada seluruh jabatan,” katanya melalui hantaran berkenaan.
Laporan tersebut turut menamakan beberapa individu.
“Kami ingat biasa saja… rupanya lengkap dengan carta, tangkap layar perbualan dan juga temu bual tanpa nama,” ujarnya.
Namun, apa yang tidak diketahui, bapa pelajar praktikal terbabit merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat.
Katanya, dalam masa seminggu, sumber dalaman turut memaklumkan bahawa satu siasatan dilakukan serta-merta dan dua pengurus telah ditamatkan perkhidmatan secara senyap.
“Selepas kejadian, HR melakukan siasatan penuh dan dua pengurus telah diarah keluar secara senyap-senyap dan beberapa dasar syarikat juga berubah.
“Tapi, pelajar itu masih terus hadir bekerja seperti biasa,” tambahnya.
Dia juga mengingatkan pada orang ramai agar tidak memandang rendah pada pelatih praktikal.
Menerusi ruangan komen, kebanyakan orang ramai menyatakan rasa kagum terhadap keberanian pelajar tersebut.
“Kagum dekat budak itu dan bapanya. Orang kata diam-diam ubi berisi,” tulis seorang pengguna.
“Ini bukan pelajar praktikal, ini penyiasat persendirian,” komen seorang lagi pengguna. -KOSMO! ONLINE
The post E-mel budak praktikal bongkar budaya kerja toksik pejabat appeared first on Kosmo Digital.