Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan cadangan semua pihak termasuk saranan penyediaan pondok polis dan anggota polis bantuan di sekolah bagi menangani permasalahan buli.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil kira semua pandangan khususnya dalam jawatankuasa reformasi keselamatan sekolah yang sedang dilaksanakan ketika ini selain proses audit keselamatan juga turut berlangsung di semua sekolah berasrama seluruh negara.
“Kita sedang kutip pandangan-pandangan ini dalam ‘town hall’ kita bersama dengan Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Komunikasi untuk meneliti berkaitan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.
“Jadi semua pandangan-pandangan ini diperlukan untuk kita teliti sebelum kita muktamadkan apakah tindakan-tindakan yang kita fikir penting untuk kita laksanakan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini pelbagai langkah telah dilaksana bagi mengekang isu berkenaan.
“Semua langkah-langkah untuk memastikan keselamatan dan juga tindakan tegas kepada jenayah buli ini dilakukan di bawah peraturan dan garis panduan yang telahpun kita ada,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post KPM pertimbang cadangan sedia pondok polis di sekolah appeared first on Kosmo Digital.