Auto Added by WPeMatico

JITRA – Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah disyaki berpangkalan di Danok, Thailand dan turut didalangi remaja berusia belasan tahun yang dipercayai aktif sejak Mac lalu.
Kejayaan itu susulan penahanan empat suspek lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Bukit Kayu Hitam dan Changlun, dekat sini bermula Rabu lalu hingga semalam.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, penahanan suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun terbabit dilakukan hasil kerjasama dengan polis Perlis dan Polis Thailand.
“Kita berjaya merampas kira-kira 93.77 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM290,600. Sindiket ini dipercayai baru sahaja beroperasi sekitar Mac lalu dan mengupah remaja tempatan untuk melakukan kegiatan jahat mereka itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.
Jumlah ganja berkenaan boleh digunakan oleh 187,540 penagih dadah.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk ganja dari Thailand sedikit demi sedikit menggunakan motosikal sewa dari negara jiran itu.
“Dua suspek berusia 24 dan 28 tahun disyaki dalang utama sindiket yang bertindak sebagai perunding dan pembiaya. Remaja berusia 18 dan 19 tahun pula berperanan sebagai penjaga dan ‘transporter’ ganja.
“Suspek disyaki mampu menyeludup 20kg ganja setiap trip dengan upah kira-kira RM400, manakala upah menjaga dadah di lokasi tertentu termasuk di kawasan Laka Temin pula serendah RM100,” ujarnya.
Menurut Adzli, siasatan percaya semua dadah yang diseludup akan ditransit di kawasan Ladang Rakyat, Laka Temin di Bukit Kayu Hitam sebelum diedarkan ke Kuala Lumpur.
Tambahnya, kesemua suspek kecuali remaja 18 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
“Semua suspek direman selama empat dan enam hari dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket edar ganja berpangkalan di Danok tumpas appeared first on Kosmo Digital.