Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Menghidap kanser retinoblastoma pada mata kiri sejak kecil bukan menjadi penghalang kepada seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 untuk memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Tengku Nurhanis Tengku Othman, 19, yang merupakan antara calon STPM berkeperluan khas di Kelantan mendapat keputusan semua A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.
Tengku Nurhanis berkata, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi sebaik sahaja menjejakkan kaki untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini yang merupakan antara sekolah terbaik di Kelantan.
Menurutnya, dengan berbekalkan semangat untuk terus berjaya, kecacatan mata itu menjadikan dia lebih kuat untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Tahfiz Qiraat di Universiti Islam Selangor yang menjadi satu langkah awal bagi mengejar cita-cita sebagai pensyarah.
“Saya hanya boleh menggunakan mata sebelah kanan sahaja. Bukan perkara mudah untuk fokus semasa belajar dengan hanya bergantung kepada sebelah mata sehingga kadangkala menyebabkan saya sering sakit kepala dan mengalami mata berair.
“Saya menghidap kanser retinoblastoma ketika berusia dua tahun dan doktor menasihatkan supaya membuangnya sebelum sel kanser merebak ke bahagian mata kanan. Selepas itu saya hanya sekadar menggunakan mata palsu sahaja sebagai pelengkap,” katanya ketika ditemui pemberita di SMKA Naim Lilbanat di sini hari ini.
Tengku Nurhanis yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik memberitahu, dia sering mengamalkan surah al-Waqiah, surah Yunus dan solat tahajud sebagai usaha tambahan semasa persiapan menduduki peperiksaan. – KOSMO! ONLINE
The post STPM: Pelajar hidap kanser, hanya bergantung sebelah mata raih PNGK 4.0 appeared first on Kosmo Digital.