Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Perdana Menteri Anutin Charnvirakul akan mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada pukul 9.20 malam ini (waktu tempatan) untuk membincangkan situasi sempadan Thailand-Kemboja, lapor akhbar The Nation.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semua keputusan mengenai operasi ketenteraan kekal sepenuhnya di tangan Thailand serta menafikan sebarang perjanjian sulit dengan bekas pemimpin Kemboja yang berpengaruh, Hun Sen.
Anutin berkata, panggilan telefon dengan Trump akan merangkumi perbincangan mengenai perkembangan terkini di sepanjang sempadan sejak perbualan terakhir mereka yang berlaku hampir sebulan lalu semasa lawatannya ke China.
“Kami akan memberi kemas kini kepada Presiden Trump tentang situasi itu, tetapi sebarang keputusan terletak pada kerajaan Thailand. Kami menyokong dan memperkasakan angkatan tentera untuk menjalankan operasi,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau akan meyakinkan orang ramai di sepanjang sempadan setelah Parlimen dibubarkan dan kebimbangan semakin meningkat bahawa konflik itu boleh berlarutan, Anutin berkata, kerajaan interim masih mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara.
Beliau menyatakan bahawa walaupun beberapa tindakan memerlukan rundingan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, perkara-perkara penting boleh diteruskan mengikut keperluan.
Berdasarkan garis masa standard katanya, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, keputusan disahkan dalam tempoh 45 hari dan Kabinet baharu boleh dibentuk dalam masa kira-kira sebulan selepas itu.
“Jika anda mengira semuanya, ia mengambil masa kira-kira lima hingga enam bulan. Sehingga Kabinet baharu mengangkat sumpah, kerajaan ini meneruskan tugasnya,” kata Anutin.
Mengenai sama ada pertempuran sempadan Thailand-Kemboja akan berakhir sebelum pilihan raya, beliau hanya menjawab, tentera melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara.
Apabila wartawan bertanya sama ada beliau telah dimaklumkan secara rasmi tentang laporan bahawa Hun Sen telah mengarahkan gencatan senjata unilateral, Anutin membalas: “Bilakah gencatan senjata itu? Saya belum dimaklumkan.”
Tambah Anutin, selepas taklimat akhbarnya, beliau akan menuju ke Ibu Pejabat Angkatan Tentera Diraja Thailand untuk menerima maklumat terkini operasi kerana beliau juga mempunyai panggilan yang dijadualkan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Persoalan timbul ketika masa pembubaran Dewan Perwakilan adalah selari dengan laporan gencatan senjata Kemboja, yang mencetuskan spekulasi bahawa Bangkok dan Phnom Penh mungkin telah menyelaraskan langkah mereka.
Anutin bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu.
“Tiada perkara seperti itu. Saya membubarkan Dewan Perwakilan kerana pemimpin Parti Rakyat menyuruh saya membubarkannya, jadi saya melakukannya,” katanya merujuk kepada seruan pemimpin pembangkang sebelum ini untuk pilihan raya baharu. – AGENSI
The post Bubar Parlimen bukan kerana perjanjian sulit dengan Kemboja – PM Thai appeared first on Kosmo Digital.