Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Pasukan keselamatan negara berjaya menahan seorang lelaki warga Thailand serta merampas 331 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai hampir RM11 juta dalam satu operasi bersepadu di hutan Durian Burung dekat Padang Terap berhampiran sempadan Malaysia dan Thailand, Selasa lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tangkapan pada pukul 4.30 pagi hasil Operasi Serkap oleh pasukan tentera dari Kem Sahara, Durian Burung itu susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan.
“Ketika operasi pasukan tentera mengesan pergerakan suspek yang mencurigakan. Suspek ditahan kira-kira 160 meter dari sempadan yang membawa kepada penemuan sembilan jenis guni berisi 331 kilogram (kg) dadah disyaki syabu tidak jauh dari lokasi itu.
“Dadah itu bernilai hampir RM11 juta. Kalau terlepas ke dalam pasaran dalam negara membawa impak kemudaratan kepada 66,000 penagih. Dadah ini dibungkus menggunakan pembalut racun tikus dan makanan kering sebelum dibawa dengan guni bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini yang turut disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menambah, suspek berusia 37 tahun itu tidak bertindak sendirian sebaliknya menyeludup dadah itu bersama lapan lagi rakan yang sempat melarikan diri ketika operasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini berpengkalan di negara jiran yang beroperasi sejak dua bulan lebih. Kita juga sudah mengenal pasti rangkaian sindiket ini.
“Barang terlarang ini dipercayai untuk disalurkan ke Lembah Klang. Suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun menggunakan laluan tidak sah,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE
The post Penyeludup pikul guni syabu RM11 juta guna laluan tikus appeared first on Kosmo Digital.