Auto Added by WPeMatico

MIAMI – Saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 akan membuka tirai secara rasmi menjelang aksi pembukaan antara Inter Miami menentang Al Ahly yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hard Rock pagi esok.
Meskipun dibarisi bintang dunia seperti kapten Argentina, Lionel Messi dan tiga bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Luis Suarez, Sergio Busquets serta Jordi Alba, namun jurulatih Miami, Javier Mascherano tetap memberi amaran kepada anak-anak buahnya.
Beliau berkata, mereka memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri, namun masih perlu berwaspada dengan ancaman pasukan-pasukan pencabar, terutamanya dalam aksi sulung menentang gergasi dari Mesir itu nanti.
“Kami sangat teruja kerana dapat beraksi pada saingan Piala Dunia Kelab, lebih-lebih lagi dapat menentang pasukan-pasukan terbaik dunia. Semua pemain sudah tidak sabar untuk memulakan kempen.
“Sudah tentu kami gembira kerana dapat memulakan saingan dengan bermain di hadapan penyokong sendiri. Memang penting untuk bermula dengan langkah kanan tetapi kami tidak boleh pandang rendah kemampuan Al Ahly,” katanya.
Bekas tonggak Argentina itu turut menjelaskan, beliau sangat arif dengan kemampuan pasukan-pasukan dari Afrika, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai apa yang menanti mereka pada perlawanan tersebut.
“Mereka merupakan antara pasukan paling berjaya di Afrika, jadi ia akan menjadi pertemuan yang sukar. Bagaimanapun, itu adalah perkara biasa apabila anda beraksi pada kejohanan seperti ini,” ujar Mascherano. – AGENSI
The post Piala Dunia Kelab: Miami mahu langkah kanan appeared first on Kosmo Digital.