Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sesi mental hygiene yang dijalankan setiap pagi menjadi sumber kekuatan utama peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi menghadapi cabaran sepanjang pelayaran misi kemanusiaan itu.
Peserta, Iylia Balqis Suhaimi berkata, sesi berkenaan diadakan selepas mesyuarat pagi dan memberi ruang kepada setiap ahli misi berkongsi cara mengekalkan keadaan mental yang positif.
“Sepanjang pelayaran yang memenatkan itu dan kemudian kita tidak tahu apa pengakhirannya, jadi penting untuk ada satu kumpulan sokongan bagi memastikan kita dalam keadaan emosi yang stabil.
“Jika apa-apa berlaku, kita semua bersedia,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Iylia turut mendedahkan pengalaman menyentuh hati apabila ketua misi sendiri menunjukkan sokongan moral dengan mengajaknya berdoa bersama di dalam bilik selepas satu sesi berlangsung.
“Dia suruh saya pegang tangan sebab dia hendak berdoa. Kami berdua menangis dan berkongsi perasaan,” ujarnya.
Beliau berkata, sesi sokongan emosi itu penting kerana ramai peserta dibayangi rasa takut dan bimbang sama ada ditahan, dipenjara atau dibunuh.
“Saya cakap kepadanya, salahkah saya kalau saya mahu berharap pelayaran itu adalah pelayaran terakhir. Dia setuju, dia angguk setuju. Kami berdua berharap ia adalah pelayaran terakhir membawa peserta yang ketakutan dan kebimbangan,” jelasnya.
Menurutnya, harapan selepas ini adalah supaya jika ada bot lain, ia hanya membawa bantuan kemanusiaan, perubatan dan makanan bagi membangunkan semula bumi Palestin, bukannya lagi peserta yang hidup dalam ketakutan. – KOSMO! ONLINE
The post Sumud Flotilla: ‘Salahkah kalau saya harap ini pelayaran terakhir’ appeared first on Kosmo Digital.