Auto Added by WPeMatico

![]()
RAUB – Seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 35 tahun di rumah mereka di Karak, Bentong, bulan lalu.
Tertuduh, Hanipah Ali, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak perempuannya di rumah mereka di Taman Makmur Jaya, Karak, antara pukul 10 malam pada 17 Oktober hingga 5 pagi keesokan harinya.
Sumbang mahram tersebut didakwa dilakukan ketika tertuduh tinggal serumah bersama isteri dan mangsa.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding tertuduh memaklumkan dia hanya bergantung kepada pendapatan pencen bulanan sekitar RM400 dan masih menanggung isterinya.
Noor Zaihan kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan beberapa syarat tambahan, termasuk tidak boleh menghampiri mangsa dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela. – KOSMO! ONLINE
The post Pesara didakwa rogol anak kandung tiga kali sehari appeared first on Kosmo Digital.