Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperuntukkan RM2.4 juta bagi memperkukuh Program iTEKAD yang bertujuan memperkasa sehingga 220 usahawan mikro, pekerja gig dan agropreneur melalui bantuan kewangan, latihan keusahawanan serta sokongan pembinaan kapasiti.
Program iTEKAD itu memupuk kelestarian sumber pendapatan dan memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang melalui tiga inisiatif utama iaitu Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islamic serta Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu iTEKAD CIMB Islamic.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, melalui Program iTEKAD, pihaknya berhasrat menyediakan komuniti yang kurang bernasib baik bukan sahaja sokongan kewangan, tetapi pengetahuan serta alat dan rangkaian untuk berkembang dan beralih daripada bergantung kepada pihak lain kepada berdikari.
“Pemerkasaan kewangan melangkaui usaha menangani cabaran jangka pendek. Ia adalah tentang membolehkan mobiliti ekonomi dan daya tahan jangka panjang.
“Justeru, Program iTEKAD mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kewangan inklusif dan keadilan sosial, selaras dengan tujuan kami yang lebih luas untuk memajukan pelanggan dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, CIMB Islamic komited untuk terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia serta rakan-rakan program iaitu Yayasan Belia Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Taylor’s Community dan Foodpanda dalam mempromosikan visi bersama bagi memperkasa komuniti dan mewujudkan peluang pendapatan yang mampan.
Sehingga kini, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islami telah memperkasa lebih 200 pekerja gig untuk beralih kepada pemilikan perniagaan antaranya di Lembah Klang ke Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sekali gus mencerminkan impak serta permintaan yang semakin meningkat.
Seiring dengan iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneurship Programme, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Syed Zaid Albar juga telah menyampaikan lebih 60 motosikal kepada pekerja gig dari Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini di Projek Perumahan Rakyat di Bukit Jalil.
Bagi Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’ pula telah menyokong lebih 500 usahawan mikro daripada komuniti Asnaf dan B40 melalui geran perniagaan dan latihan berstruktur.
Selain itu, Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu iTEKAD CIMB Islamic pula memupuk generasi belia dalam pertanian moden dengan menyediakan latihan keusahawanan dan empat rumah hijau bagi memperkasa 40 agropreneur muda yang kini mengusahakan lebih 1,500 pokok tembikai setiap musim.
Inisiatif-inisiatif ini memanfaatkan struktur pembiayaan campuran yang menggabungkan geran padanan daripada Bank Negara Malaysia dengan peruntukan daripada dana Zakat Wakalah CIMB Islamic, bagi memastikan penyaluran modal yang bersasar untuk pertumbuhan pendapatan.
Secara keseluruhan, usaha-usaha ini selaras dengan program payung iTEKAD Bank Negara Malaysia yang menggalakkan pembiayaan sosial termasuk wakaf, zakat dan pelaburan berimpak bersama pembiayaan mikro dan pembangunan keusahawanan bagi menyokong penjanaan pendapatan mampan serta daya tahan ekonomi jangka panjang. – KOSMO! ONLINE
The post CIMB Islamic memperuntuk RM2.4 juta Program iTEKAD appeared first on Kosmo Digital.