Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Hari Kebangsaan 2025 sebagai terbaik selepas menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan itu di Dataran Putrajaya, hari ini.
Sebaik selesai acara sambutan itu kira-kira 10 pagi, beliau meluangkan masa berjalan kira-kira 500 meter beramah mesra dengan pengunjung bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Ketika ditanya pemberita berhubung sambutan luar biasa rakyat itu, Anwar hanya menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda berpuas hati dengan sokongan dan semangat patriotik semua rakyat berbilang kaum.
Sambil melambaikan tangan, Perdana Menteri turut menyapa dan bertanya khabar pengunjung yang kelihatan teruja dapat mendekati beliau secara lebih dekat.
Kehadiran Anwar sebaik selesai sambutan acara bersejarah itu, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh, mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Malaysia Madani.
Beliau turut menyantuni sekumpulan 2,000 pelajar yang menyertai persembahan teres grafik manusia dalam kalangan pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menyifatkan pertunjukan itu sebagai yang terbaik dalam sejarah negara.
Katanya, ia sekali gus berjaya menzahirkan semangat patriotik rakyat, selain menggambarkan kreativiti dan kebersamaan generasi muda.
“Saya bangga dengan anak-anak, ini pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia. Belajar baik-baik dan teruskan usaha,” katanya ringkas ketika menyampaikan penghargaan kepada peserta terbabit.
Sepanjang laluan, ramai pengunjung mengambil kesempatan merakam gambar Perdana Menteri, manakala kanak-kanak pula kelihatan gembira menerima sapaan beliau. – KOSMO! ONLINE
The post Ini pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia – Anwar appeared first on Kosmo Digital.