Auto Added by WPeMatico

TEL AVIV – Pertahanan udara Israel mempunyai tempoh kurang dua minggu lagi untuk memintas peluru berpandu balistik Iran pada kadar semasa tanpa mendapat bekalan tambahan dalam kuantiti signifikan dari Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita RT semalam.
Memetik laporan akhbar Washington Post, memintas peluru berpandu dan dron Iran menelan kos yang mahal untuk Tel Aviv.
Kos pertahanan peluru berpandu boleh mencecah sehingga AS$285 juta (RM1.2 bilion) bagi satu malam, lapor media Israel.
Melihatkan kadar serangan semasa Iran, Israel hanya boleh mengekalkan tahap pertahanan udara semasanya selama 10 hingga 12 hari lagi tanpa menambah bekalan dari AS atau penglibatan lebih mendalam oleh tentera Pentagon.
Tel Aviv mungkin perlu memulakan catuan peluru berpandu pertahanan udaranya seawal akhir minggu ini, tambah laporan berkenaan.
“Israel perlu memilih apa yang mereka mahu pintas,” tulis akhbar itu ketika memetik sumber yang tidak didedahkan.
Israel mempunyai perisai pertahanan udara berlapis dengan pelbagai sistem tetapi bergantung kepada sistem Arrow untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik tanpa henti dari Iran.
Meskipun ia cekap terhadap roket yang ditembak oleh Hamas, sistem Kubah Besi Israel tidak berkesan terhadap peluru berpandu balistik Iran yang lebih hebat, kata laporan tersebut. – AGENSI
The post Sistem pertahanan udara Israel makin lemah appeared first on Kosmo Digital.