Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai seekor anjing yang ‘disiat’ kulitnya seluruh badan supaya tampil membantu siasatan.
SAFM mendedahkan, anjing berkenaan ditemui oleh penyelamatnya dalam keadaan cedera parah di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Anjing tersebut masih hidup ketika ditemui dan berada dalam keadaan memerlukan rawatan veterinar segera.
“Penyelamat berkenaan telah bertindak segera membawa haiwan tersebut ke klinik untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” kata SAFM menerusi kenyataan.
SAFM memaklumkan, pihaknya turut membantu individu berkenaan untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Kes ini kini berada dalam siasatan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Seksyen 29), yang bertujuan melindungi haiwan daripada sebarang bentuk penderaan dan kekejaman.
“Insiden ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap tahap kebajikan haiwan dalam komuniti dan menegaskan keperluan tindakan bersama,” ujar kenyataan itu.
SAFM turut menyeru orang awam agar tidak berdiam diri terhadap sebarang bentuk penderaan haiwan.
“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian, mempunyai maklumat, bukti atau rakaman berkaitan diminta untuk tampil membantu siasatan pihak berkuasa.
“Tindakan orang awam adalah penting bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan penderaan haiwan dihentikan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Anjing parah kulit kena siat, SAFM gesa saksi jangan ‘diam’ appeared first on Kosmo Digital.