Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seramai empat daripada 42 orang jemaah umrah yang dikendalikan oleh syarikat pelancongan Persada Global Holidays Sdn Bhd telah selamat pulang ke Malaysia, manakala baki 38 jemaah bersama seorang mutawwif masih terkandas di Jeddah.
Menurut pegawai di Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi, pihaknya menerima aduan berkenaan kegagalan jemaah untuk pulang ke tanah air pada Sabtu lalu.
Katanya, aduan tersebut diterima melalui e-mel daripada bekas peserta Pencetus Ummah, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar, atau PU Abu yang juga merupakan Mutawwif kepada 42 orang jemaah umrah di bawah kelolaan syarikat berkenaan.
“Konsul Jeneral dan pegawai Konsulat Malaysia di Jeddah sehingga kini telah melawat jemaah di lokasi penginapan mereka sebanyak dua kali, iaitu pada 26 dan 27 Julai sambil menghulurkan bantuan makanan.
“Dalam kalangan jemaah ini terdapat 10 orang warga emas dan seorang ibu mengandung. Pemerhatian Konsulat mendapati kesemua jemaah berada dalam keadaan baik dan selamat. Namun terdapat beberapa orang jemaah yang dilihat agak kurang sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Selain itu katanya, buat masa ini, makanan dan minuman disediakan oleh Mutawwif atau jemaah yang berkemampuan menggunakan wang sendiri.
“Semalam, seramai empat orang jemaah telah pulang ke Malaysia dengan tanggungan sendiri dengan baki seramai 38 orang jemaah dan seorang Mutawwif.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah masih meneruskan usaha membantu dan menjaga kebajikan serta keselamatan kesemua jemaah, termasuk usaha membawa mereka pulang ke tanah air dengan segera dan selamat,” katanya.
Sebelum itu katanya, pegawai Konsulat telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan dan menggesa pihaknya melaksanakan tanggungjawab beliau sepenuhnya dengan membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air.
“Konsulat turut meminta syarikat menanggung kos penginapan, makanan, minuman dan kos-kos lain yang berkaitan sepanjang keberadaan mereka di Jeddah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jemaah terkandas di Jeddah: Empat sudah pulang appeared first on Kosmo Digital.