Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Norazamuddin Ahmad,56, meninggal dunia di Tanah Suci akibat serangan jantung, malam tadi.
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd. Said memaklumkan kali terakhir beliau berbual dengan arwah menerusi panggilan video lewat petang semalam.
“Lewat petang semalam (Maghrib) saya ada bercakap dengan arwah melalui panggilan video dari sana (Mekah).
“Dia beritahu teringin hendak ke Gua Hira, tetapi, tidak larat untuk berjalan. Selang dua jam, saya mendapat perkhabaran ini (meninggal dunia) namun memang tak sangka sebab masa ‘video call’ (panggilan video) arwah nampak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Permatang Pauh yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa punca kematian Norazamuddin adalah disebabkan oleh serangan jantung.
“Saya difahamkan bahawa arwah memang ada masalah jantung dan jika tidak silap saya, arwah pernah menjalani pembedahan khas iaitu untuk memasang ‘stent’ pada jantung beberapa tahun yang lalu.
“Jenazah Norazamuddin bagaimanapun telah selamat disemadikan di Mekah selepas solat Subuh pagi tadi dan kita kini sedang berusaha untuk membawa pulang isteri Allahyarham ke tanah air lebih awal,” katanya.
Terdahulu, satu majlis tahlil diadakan sebelum mesyuarat berkenaan bagi memperingati pemergian Allahyarham, malam tadi. -KOSMO! ONLINE
The post Naib Ketua UMNO Permatang Pauh meninggal dunia di Mekah appeared first on Kosmo Digital.