Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Rakyat perlu terus memperkukuh iltizam dan cita murni selain komited pada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan dan menjauhi perpecahan dalam menzahirkan sambutan Hari Malaysia hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.
“Pada tanggal 16 September saban tahun, kita terus diperingatkan tentang lembaran sejarah yang telah menemukan wilayah-wilayah yang berbeza latar dan budaya ke dalam satu cita nasional yang diberikan nama Malaysia.
“Hari besar negara ini adalah lambang serta tekad leluhur yang berani menyanggah penjajahan, melasah segala bentuk penyimpangan dan menjunjung tegas maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang rencam tapi berpadu.
“Ini harinya di mana kita terus-terusan memperbaharui tekad dalam meraikan kerencaman itu sebagai rahmat yang memperkukuh asas persaudaraan,” katanya hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa kekuatan Malaysia berakar daripada rakyat yang menyemarakkan kemanusiaan, keadilan dan solidariti selain institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.
“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang menyala serta membakar obor kebebasan.
“Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu,” katanya.
Anwar menegaskan, Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai tanah yang adil, makmur dan madani yang diwariskan kepada anak cucu sebagai negara bangsa yang teguh dan bermaruah. – KOSMO! ONLINE
The post Zahir sambutan Hari Malaysia dengan perkukuh iltizam, cita murni – Anwar appeared first on Kosmo Digital.