Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR- Penantian Timor-Leste selama 14 tahun untuk menjadi ahli keluarga ke-11 ASEAN akhirnya tercapai selepas negara itu diumumkan secara rasmi menyertai blok serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan selepas negara itu menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) hari ini.
“Ini merupakan satu detik bersejarah bukan sahaja untuk Timor-Leste, tetapi juga untuk seluruh rantau Asia Tenggara.
“Ini menandakan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai ahli ke-11 serta pengembangan skop ASEAN untuk merangkumi setiap negara berdaulat di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian SEANWFZ hari ini.
Pada masa sama, Mohamad turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Timor-Leste bagi pihak Malaysia dan seluruh anggota ASEAN.
“Hari ini, kami meraikan anda (Timor-Leste) sebuah negara yang dibina atas keberanian, ketabahan.
“Anda kini menyertai sebuah keluarga yang sudah lama menantikan penyertaan anda,” katanya.
Menurut Mohamad, Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, tetapi merupakan ‘denyut nadi kepada visi bersama’ yang menjadi ikatan kepercayaan, hormat dan solidariti antara negara-negara anggota.
“Melalui penyertaan dalam Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut menzahirkan komitmen untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai ‘ltempat perlindungan keamanan dan bebas daripada bayangan senjata nuklear.
“Penyertaan penuh Timor-Leste bakal membawa tenaga baharu, perspektif segar dan sumbangan bermakna daripada penduduk muda negara itu kepada pembangunan rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Timor-Leste sah jadi ahli keluarga ke-11 ASEAN appeared first on Kosmo Digital.