Auto Added by WPeMatico

KULAI – Seorang kanak-kanak perempuan mengalami trauma selepas dicabul seorang lelaki di dalam tandas di sebuah kopitiam di Jalan Jambu Air, Taman Iris di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, perbuatan keji suspek yang berusia 32 tahun terbongkar selepas mangsa yang berusia sembilan tahun memberitahu neneknya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, susulan kejadian itu, wanita berusia 57 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 9.29 malam pada hari yang sama.
“Susulan laporan itu, suspek ditahan pada pukul 5.45 petang di sekitar kawasan Kulai.
“Hasil siasatan mendapati, suspek terlibat dalam kes jenayah di daerah lain selain memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah seksual,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seng Lee berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai esok untuk permohonan reman.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.-KOSMO! ONLINE
The post Budak perempuan ‘diganggu’ dalam tandas kopitiam appeared first on Kosmo Digital.