Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Majikan yang memiliki rekod pelanggaran perburuhan, gagal mematuhi perintah mahkamah atau sabitan berhubung buruh paksa tidak akan dibenarkan menggajikan pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan memandang serius sebarang bentuk penindasan terhadap pekerja termasuk pekerja migran.
“Kerajaan mengenakan syarat kelulusan penggajian yang ketat di bawah seksyen 60K Akta Kerja 1955 (Akta 265) termasuk pendakwaan terhadap majikan yang melanggar peruntukan akta berkenaan.
“Kerajaan turut memperkukuh penguatkuasaan undang-undang melalui pemeriksaan dan pemantauan berfokus oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai Langkah kerajaan membasmi amalan penderaan pekerja migran khususnya yang berkait penahanan pasport atau dokumen pengenalan oleh majikan serta isu gaji.
Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan, kerajaan menyediakan mekanisma aduan yang mudah diakses iaitu melalui aplikasi e-Aduan di bawah ePPAx bagi pekerja asing menyalurkan aduan.
Kata beliau, pekerja asing juga dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) iaitu Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan Pekerja Asing.
Tambah beliau, Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (2021-2025)pula menjadi komitmen kerajaan untuk membanteras amalan buruh paksa melalui pendekatan pencegahan, perlindungan, dan pendakwaan. – KOSMO! ONLINE
The post Majikan langar peraturan buruh tidak dibenarkan menggajikan pekerja asing appeared first on Kosmo Digital.
