Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIS – Seorang pemilik kucing di Perancis berdepan denda lebih £1,000 (RM4,800) oleh sebuah mahkamah selepas haiwan peliharaannya menceroboh halaman jiran, lapor portal berita MailOnline semalam.
Dominique Valdes didapati bersalah kerana kucingnya, Remi, menyebabkan kerosakan pada harta jiran di bandar Agde.
Mahkamah diberitahu bahawa haiwan itu membuang kencing di atas selimut, membuang najis di laman dan meninggalkan kesan tapak kaki pada dinding rumah jirannya.
Keputusan awal yang dijatuhkan kepada Valdes pada Januari lalu menyebabkan Valdes perlu membayar hampir £400 (RM1,900) sebagai ganti rugi dan £700 (RM3,390) untuk yuran guaman.
Hukuman itu turut menetapkan denda sebanyak £26 (RM126) setiap kali kucing jantan berwarna oren melintasi pagar ke kawasan jiran lagi.
Kini, Remi didakwa melakukan kesalahan yang sama sekali lagi, menyebabkan Valdes perlu hadir semula ke mahkamah pada Disember ini dan berdepan bayaran sebanyak £1,750 (RM8,500).
Bercakap kepada stesen televisyen Perancis BFMTV, Valdes berkata, saman tersebut menyebabkan dirinya trauma.
“Apabila saya diberitahu tentang sabitan itu, rasanya seperti saya dipukul dengan batu bata di kepala,” katanya.
Valdes mendakwa kes itu telah menyebabkan dia mengalami insomnia dan terpaksa memulakan rawatan psikoterapi untuk menangani tekanan.
Dia juga berkata bahawa keputusan awal itu turut memberi kesan kepada Remi kerana dia kini terpaksa mengurung kucingnya di dalam rumah. – AGENSI
The post Tidak adil! Pemilik kecewa didenda hampir RM9,000 kucing peliharaan ceroboh laman jiran appeared first on Kosmo Digital.