Auto Added by WPeMatico

SRI AMAN – Jasad lelaki warga emas yang hilang selepas perahu dinaikinya bersama-sama menantu karam di sungai berhampiran Loji Rawatan Air Bayai di sini, semalam ditemukan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 71 tahun itu dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira pukul 3.48 pagi sebelum memaklumkan kepada Balai Polis Sri Aman.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak 200 meter dari lokasi perahunya karam dan telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kejadian berlaku ketika mangsa bersama-sama menantunya dalam perjalanan balik dari ladang kelapa sawit dan membawa muatan buah sawit, sebelum bot mereka melanggar batang kayu yang berada di tengah sungai lalu karam.
Menantu mangsa yang berusia 36 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai, manakala mangsa hilang dihanyut arus.
Susulan laporan yang diterima kira-kira pukul 10.10 pagi semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sri Aman. – KOSMO! ONLINE
The post Perahu karam: Jasad lelaki hilang ditemui selepas 17 jam appeared first on Kosmo Digital.