Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kuil di negeri ini direman enam hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan penyelewengan wang milik organisasi tersebut berjumlah RM50,000, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 23 Jun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Uthman Abd. Ghani terhadap suspek lelaki yang berusia 61 dan 75 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba dipekarangan mahkamah sekitar pukul 9 pagi.
Menurut sumber kedua-dua suspek ditahan pada pukul 11.45 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Katanya, individu terbabit dipercayai telah menyalahguna kuasa dan kedudukan dengan mengeluarkan wang persatuan berjumlah RM50,000 tanpa kelulusan atau pembentangan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa.
“Difahamkan wang itu juga digunakan untuk tujuan peribadi mereka pada tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan reman tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE
The post Pengerusi, setiausaha disyaki ‘joli’ duit persatuan kuil RM50,000 appeared first on Kosmo Digital.