Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot bernilai RM12 juta dipercayai milik seorang Tan Sri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini susulan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, sitaan itu dilakukan selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah enam kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara.
“Selain menyita enam buah kediaman mewah dan sebidang tanah lot, SPRM turut menemui kuda bernilai ratusan ribu ringgit disyaki dibeli menggunakan wang sukuk.
“SPRM turut memanggil Tan Sri itu serta isterinya untuk dirakam percakapan hari ini. Bagaimanapun, lelaki tersebut tidak hadir atas alasan masalah kesihatan,” katanya sebentar tadi.
Sumber memberitahu, SPRM dijangka memanggil 30 hingga 50 saksi untuk membantu siasatan kes tersebut.
Selain itu, tindakan lain akan diteruskan termasuk mengesan aset milik ahli perniagaan tersebut dan isterinya yang berada di dalam dan luar negara.
Semalam, SPRM dilaporkan menyita pelbagai aset melibatkan beg tangan, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah dengan nilai keseluruhan RM32 juta milik individu sama.
Dalam operasi sama, SPRM menemui stor simpanan minuman keras di salah sebuah kediaman bernilai RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Kesemua barangan dan aset disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – KOSMO! ONLINE
The post Lagi aset mewah Tan Sri bernilai RM12 juta disita SPRM appeared first on Kosmo Digital.