Auto Added by WPeMatico

KAJANG – Kerajaan sedang meneliti keperluan menambah baik atau menggubal undang-undang baharu bagi membanteras penjualan dadah melalui platform media sosial dan e-dagang yang semakin berleluasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fenomena itu kini menjadi antara fokus utama Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Gejala Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, kaedah penjualan dadah kini berubah berbanding dahulu apabila sindiket menggunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp yang sukar dikesan pihak berkuasa, berbanding platform e-dagang rasmi.
“Dulu penjualan dadah tidak berlaku secara dalam talian. Sekarang ia ditempah melalui pembelian atas talian dan dihantar menggunakan khidmat penghantaran.
“Fenomena ini memerlukan kita melihat semula undang-undang sedia ada, malah mungkin perlu ada akta baharu untuk mengawal penjualan dadah secara digital,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, isu itu turut melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan platform komunikasi digital.
Katanya, kerajaan menyedari penjualan dadah secara dalam talian berbahaya kerana ia memudahkan bekalan diperoleh dan transaksi dilakukan tanpa perlu bersemuka.
“Kita mahu memastikan kawalan dan tindakan undang-undang lebih berkesan supaya kaedah penjualan baharu ini dapat dibendung segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Undang-undang baharu teliti penjualan dadah di media sosial appeared first on Kosmo Digital.