Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Seorang bapa kepada 10 anak meluahkan rasa syukur selepas lapan anaknya yang berusia antara 14 hingga 2 tahun telah diberikan dokumen pengenalan diri oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Zainal Abidin Miskan, 51, turut melakukan sujud syukur selepas perkara itu diumumkan pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang diadakan di Auditorium Sri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), di sini hari ini.
Menurutnya, dia berharap perkara tersebut akan merubah kehidupan keluarga mereka pada masa depan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa bersyukur dengan bantuan pelbagai pihak bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri anak-anak saya, iaitu kad pengenalan dan juga sijil kelahiran.
“Saya berharap dengan adanya dokumen pengenalan diri ini, anak-anak saya akan dapat membesar secara normal dan mengubah kehidupan keluarga kami yang susah sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah Zainal Abidin, dua anak sulungnya bersama isteri, Jannatul Naimah Rohani, 36, yang kini berusia 17 dan 15 tahun sudah memiliki dokumen pengenalan diri masing-masing.
“Selama ini, lapan anak-anak yang lain belum pernah didaftarkan kelahiran mereka kerana beberapa masalah termasuk kewangan dan juga kerap berpindah randah,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Raja Azlal Raja Azman berkata, program Mekar itu telah dimulakan sejak 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE
The post Bapa sujud syukur, lapan anak terima dokumen pengenalan diri appeared first on Kosmo Digital.