Auto Added by WPeMatico

TOKYO – China mengerahkan dua kapal pengangkut pesawat ke Lautan Pasifik buat kali pertama untuk menjalankan latihan ketenteraan bersama, lapor akhbar The New York Times kelmarin.
Menteri Pertahanan Jepun, Jen Nakatani berkata, kapal pengangkut pesawat China dikesan membawa dan melancarkan jet pejuang di Pasifik ke timur pulau Jepun, Iwo Jima.
“Tentera Laut Jepun sedang memantau latihan bersama oleh kedua-dua kapal tersebut yang bermula Sabtu lepas,” kata Nakatani.
Dua kapal induk iaitu Liaoning dan Shandong, pertama kali beroperasi di luar pulau Jepun sekali gus membentuk sekatan semula jadi yang dipanggil sebagai Rantaian Pulau Pertama oleh Beijing.
China mengukuhkan tentera lautnya dengan menambah kapal pengangkut pesawat yang mampu dikawal pada jarak jauh.
Selain Liaoning dan Shandong, China juga telah membina kapal pengangkut pesawat ketiga dinamakan Fujian yang kini sedang menjalani ujian sebelum memasuki tugas aktif.
Kapal pengangkut pesawat keempat sedang dalam pembinaan.
Dengan menjelajah ke luar perairan Jepun, kapal induk China membuktikan bahawa mereka boleh mencabar bukan sahaja Jepun tetapi juga sekutu terbesarnya, Amerika Syarikat (AS) untuk mengawal Pasifik barat semasa krisis. – AGENSI
The post China hantar 2 kapal pengangkut pesawat ke Lautan Pasifik appeared first on Kosmo Digital.