Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tidak pernah menerima sebarang permohonan rasmi berhubung cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia untuk berkhidmat di hospital kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedar mengenai kenyataan yang dikeluarkan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) berhubung cadangan tersebut.
“Sehingga kini, tiada perbincangan rasmi atau permohonan rasmi diterima oleh KKM berkaitan cadangan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
yang membantah cadangan tersebut kerana ramai graduan jururawat tempatan, termasuk lulusan Peningkatan Secara Lantikan (PSL), masih menunggu pelantikan tetap atau kontrak.
Baru-baru ini, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto mencadangkan kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini, memandangkan kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari negara itu.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, jururawat tempatan lebih memahami budaya, agama dan sensitiviti sosial masyarakat selain sudah menjalani latihan mengikut piawaian KKM.
Cuepacs turut menggesa KKM mempercepat proses pelantikan jururawat tempatan, menambah pengambilan pelatih, memperluas peluang PSL serta meningkatkan insentif dan kemudahan jururawat tempatan.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, KKM kini dalam proses menyelesaikan penempatan lebih 1,800 jururawat masyarakat lulusan PSL yang dijangka diselesaikan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE
The post KKM tak terima permohonan pengambilan jururawat Indonesia appeared first on Kosmo Digital.