Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi tadi.
Ketibaan Muhammad Yunus di Kompleks Perdana Putra pada pukul 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majlis sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan
Muhammad Yunus kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diketuai Mejar Arifuddin Mohd.
Yusof.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta barisan Menteri Kabinet lain.
Muhammad Yunus kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Untuk rekod, lawatan ini merupakan lawatan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Republik Rakyat Bangladesh pada Oktober 2024.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka menilai kemajuan kerjasama dua hala Malaysia–Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan selain sumber manusia, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Perbincangan ini juga merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang semikonduktor dan promosi perdagangan.
Ia turut melibatkan pertukaran Nota Diplomatik dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.
Selepas itu, Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Jamuan Tengah Hari Rasmi buat Ketua Penasihat dan delegasi di Kompleks Seri Perdana.
Esok, Muhammad Yunus juga dijangka menyampaikan syarahan umum dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion), peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun 2023.
Ia seterusnya menjadikan Bangladesh sebagai rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Eksport utama merangkumi produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari Bangladesh terdiri daripada tekstil dan pakaian, produk petroleum dan barangan pembuatan.
Lawatan ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan merangsang kerjasama yang lebih erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1972. – KOSMO! ONLINE
The post Penasihat Kerajaan Bangladesh diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra appeared first on Kosmo Digital.