Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Seorang penarik kereta didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah di Bandar Aman Jaya, di sini pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Mudzakir Azmi, 24, dikenakan denda itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani.
Khairatul Animah turut memerintahkan Muhammad Aiman Mudzakir dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menceroboh dengan memasuki rumah lelaki berusia 39 tahun di Bandar Aman Jaya kira-kira pukul 7 malam, 14 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa berada di rumahnya pada pukul 7 malam, Sabtu lalu, dia mendapati pintu pagar hadapan yang berkunci dengan mangga kunci telah terbuka.
Mangsa mengesyaki tertuduh yang merupakan ejen penarikan kereta sebuah bank telah menceroboh rumahnya dan mengambil kereta jenis Perodua Alza miliknya secara tidak sah.
Dia kemudian membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan ejen berkenaan kerana menceroboh rumah dan menarik kenderaan miliknya di luar waktu ditetapkan.
Berdasarkan laporan polis, tertuduh yang berasal dari Merbok, dekat sini ditahan di tepi Jalan Jati, di sini pada pukul 10.30 malam, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Penarik kereta ceroboh rumah didenda RM2,800 appeared first on Kosmo Digital.