Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Polis antarabangsa Interpol mengeluarkan notis merah untuk penangkapan salah seorang hartawan minyak terbesar Indonesia berhubung skandal rasuah berjumlah 285 trilion rupiah (RM67 bilion), kata pihak berkuasa.
Mohammad Riza Chalid yang digelar ‘gasoline godfather’ dikehendaki di Indonesia kerana terlibat dalam skandal rasuah syarikat minyak milik negara, Pertamina antara 2018 hingga 2023 selain kes pengubahan wang haram dan memanipulasi perjanjian pajakan.
Setiausaha Biro Pusat Kebangsaan Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko berkata, notis merah itu dikeluarkan pada 23 Januari lalu.
“Kami tidak dapat menyatakan dengan tepat di mana dia berada, tetapi tahu keberadaan dia,” kata Untung.
Notis itu dihantar kepada 196 negara anggota Interpol untuk meminta bantuan penguatkuasa undang-undang seluruh dunia mencari dan menahan sementara Riza, 66 tahun.
Pada Julai 2025, Riza, anak lelakinya, Muhammad Kerry Adrianto Riza dan beberapa pegawai kanan Pertamina dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah itu.
Mereka dituduh bekerjasama mengimport minyak mentah dari pembekal luar negara pada harga lebih tinggi berbanding kos mendapatkan minyak daripada sumber domestik seperti diamanahkan undang-undang Indonesia, demikian menurut Pejabat Peguam Negara (AGO).
AGO menganggarkan rasuah itu bernilai 285 trilion rupiah dan berkata, 18 orang telah dinamakan sebagai suspek dalam kes tersebut setakat ini.
Pasport Indonesia Riza juga telah dibatalkan pada Oktober tahun lalu. – AFP
The post Indonesia rugi RM67 bilion, Interpol buru ‘Raja Minyak’ Riza Chalid appeared first on Kosmo Digital.