Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Penanaman semula kelapa sawit adalah penting dalam memastikan kelangsungan produktiviti baik kepada pekebun kecil mahupun syarikat besar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penanaman semula kelapa sawit tidak dititik beratkan berisiko menjejaskan eksport dan pengeluaran komoditi itu.
“Penanaman semula kelapa sawit di peringkat syarikat swasta agak mudah memandangkan sebahagiannya seperti Sime Darby, United Plantation dan KLK yang mengeksport kelapa sawit dengan jumlah kuantitinya besar.
“Salah satu kejayaan mereka sentiasa cukup kewangan menanam semula pokok telah tua. Apabila penanaman semula tidak dilakukan mengikut masa hayat pokok, produktiviti menurun,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kajian semasa menunjukkan impak langsung kelewatan penanaman semula kelapa sawit di negara ini.
Johari menjelaskan, pokok sawit yang sudah matang boleh mencapai hasil sehingga 28 tan bergantung kepada kaedah penanaman dilakukan.
Menurut beliau, hasil yang diperoleh bagaimanapun berkemungkinan kurang jika penanaman semula kelapa sawit tidak dilakukan.
“Kalau tidak buat penanaman semula apabila pokok itu berusia 25, 26 dan 27 tahun, selalunya hasil yang kita dapat keluarkan kira-kira empat dan lima tan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Penanaman semula kelapa sawit penting untuk produktiviti appeared first on Kosmo Digital.