Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan bas pelancongan bandar KL Hop-On Hop-Off dinaik taraf dengan lima penambahbaikan bagi menampung keperluan jutaan pelancong yang bakal membanjiri negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelaburan RM10 juta melibatkan enam buah bas baharu dua tingkat kendalian Elang Wah Sdn. Bhd. itu akan membelah jalan di ibu kota dengan konsep terbuka sepenuhnya bagi memberi pengalaman bersiar-siar lebih menarik kepada pelancong.
Difahamkan, ia menggunakan piawaian pelepasan karbon tertinggi Eropah dibina di atas casis MAN RR3 440 model MAN Euro 6.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, ia merupakan detik penting dalam pembangunan pelancongan dan mobiliti bandar yang dapat direalisasikan hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Katanya, lima penambahbaikan itu termasuk sistem komentar pelbagai bahasa janaan kecerdasan buatan, Wifi berkelajuan tinggi, perlindungan insurans, tempat duduk ergonomik dan pencahayaan ambien serta gabungan teknologi keselesaan.
“Ketika pelancong diberikan ulasan dalam 20 bahasa sepanjang perjalanan, mereka boleh melayari internet menggunakan wifi percuma 4G/5G yang disediakan.
“Bas baharu itu juga dilindungi insurans selain dilengkapi dengan kamera litar tertutup definisi tinggi sambil berada di tempat duduk dengan pandangan 360 darjah dan dihiasi pencahayaan ambien pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Azhar, penambahbaikan itu membolehkan penumpang menikmati perjalanan yang pintar, selesa dan penuh gaya.
Tambahnya, sejak ditubuhkan hampir dua dekad lalu, KL Hop-On Hop-Off telah memberi perkhidmatan kepada berjuta penumpang tempatan dan antarabangsa.
“Penjenamaan semula dengan tema Ronda-Ronda Kuala Lumpur itu merupakan satu identiti baharuyang mencerminkan semangat tempatan serta rasa santai meneroka ibu kota,” katanya.
Ujar Syed Azhar, Ronda-Ronda Kuala Lumpur merupakan simbol kemajuan, kelestarian dan hospitaliti rakyat Malaysia untuk mempertingkat daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi bertaraf dunia.
“Industri pelancongan hanya dapat berkembang dengan mampan apabila kita melindungi identiti, budaya dan komuniti bandar kita,” katanya.
The post Bas pelancong ronda KL baharu lebih canggih appeared first on Kosmo Digital.