Auto Added by WPeMatico

CYBERJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Myanmar mampu menuju ke arah gencatan senjata sekiranya semua pihak terus komited mendukung peranan ASEAN sebagai pengantara dan pemudah cara keamanan.
Perdana Menteri berkata, kemajuan awal telah dicapai dalam usaha meredakan konflik di Myanmar, khususnya melalui pertemuan dan perbincangan yang sedang diatur bersama Menteri Luar Thailand dan Indonesia.
“Kami akan berkunjung ke Myanmar dalam masa terdekat untuk menegaskan kepentingan menghentikan keganasan selain memulakan gencatan senjata dan menggalakkan dialog antara semua pihak berkepentingan.
“Langkah ini penting untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari ASEAN 2025, di sini hari ini.
Kata Anwar, mandat dan sokongan padu semua pemimpin ASEAN dilihat memberi kekuatan tambahan kepada Malaysia dalam memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Apabila saya menyampaikan pandangan kepada pemimpin Myanmar, mereka sedar ia datang dengan mandat penuh ASEAN.
“Ini menjadikan saranan kita diambil serius dan memberi ruang lebih besar untuk mencapai hasil positif,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Myanmar mampu capai gencatan senjata menerusi usaha diplomasi ASEAN appeared first on Kosmo Digital.