Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas dikesan menyebarkan video palsu kononnya pendedahan hasil bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir menerusi akaun TikTok @BERJUANGUNTUKZARA.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia 51 tahun itu ditahan sekitar pukul 10.20 malam, semalam.
Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan satu hantaran video berdurasi dua minit enam saat yang memaparkan audio perbualan penemuan hasil besah siasat kes Zara Qairina di aplikasi TikTok.
“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kes ini.
“Suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan awal mendapati video berjudul ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’ itu mengandungi kenyataan tidak benar termasuk mendakwa kematian Zara Qairina sebagai pembunuhan terancang.
Jelasnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Keputusan untuk mengadakan inkues terhadap kes kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos.
“Justeru, polis memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta sehingga mengganggu prosiding mahkamah,” jelasnya.
Kumar turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai maklumat di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu, terutama membabitkan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.
“Polis menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses sisatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki 51 tahun ditahan, manipulasi fakta bedah siasat Zara Qairina appeared first on Kosmo Digital.