Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Pemilik hartanah bertanggungjawab menyatakan pandangan atau bantahan jika tidak bersetuju terhadap cadangan kawasan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) semasa publisiti rancangan pemajuan dijalankan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ia antara langkah dan proses penilaian bagi memastikan kawasan dikenal pasti untuk PSB ditentukan secara holistik dan adil.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengadakan sesi pendengaran bantahan bagi meneliti dan mempertimbangkan maklum balas diterima daripada pemilik hartanah.
“Sesi libat urus juga akan diadakan bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan profesional, wakil komuniti, badan bukan kerajaan dan lain-lain,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai kriteria teknikal dan perundangan akan digunakan badan bebas dalam cadangan Rang Undang-undang (RUU) PSB 2025.
Kor Ming berkata, kawasan dan bangunan dikenal pasti, laporan pemeriksaan visual terperinci akan disediakan oleh jurutera profesional berdaftar selaras seksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)
Menurut beliau, penilaian dilaksanakan dalam dua peringkat membabitkan penilaian awal terhadap struktur fizikal, kesesuaian guna tanah, impak sosial dan nilai sejarah bangunan.
Jelasnya, penilaian akan dibuat semasa proses pengenalpastian kawasan berpotensi PSB dicadangkan untuk dimasukkan dalam rancangan pemajuan.
Katanya, penilaian kedua akan dilaksanakan semasa sesi rundingan bersama pemilik dan orang berkepentingan dengan merujuk laporan teknikal menyeluruh.
“Ini termasuk cadangan PSB, permintaan untuk cadangan (RFP), ‘Business Plan’, ‘Viability Study’, ‘Feasibility Study’ yang menyeluruh bagi mengkaji kebolehlaksanaan projek,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemilik hartanah boleh kemuka bantahan jika tidak setuju PSB appeared first on Kosmo Digital.