Auto Added by WPeMatico

BACHOK – Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pelajar kolej vokasional pada Ahad lalu.
Tertuduh, Mohammad Khairuddin Ab. Razab, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Amin Rashidi Ramli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu treler pengangkut kenderaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Norkhairi Amirul Sabri, 20.
Kesalahan itu dilakukan di depan sebuah premis yang menjalankan perniagaan pembinaan di Jalan Kampung Jembal, di sini kira-kira pukul 9.07 malam pada 21 September lalu.
Mohammad Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam, Latifah Ariffin.
Terdahulu, Muhammad Aiman mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Latifah dalam rayuannya memohon ikat jamin lebih rendah dengan alasan tertuduh yang merupakan bapa kepada tiga anak merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu treler didakwa pandu berbahaya sebabkan kematian pelajar kolej appeared first on Kosmo Digital.