Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kegiatan pasangan suami isteri warga Indonesia menawarkan perkhidmatan pemalsuan dokumen dan cap Imigresen gred A sejak tiga tahun lalu berakhir selepas pihak imigresen menyerbu sebuah rumah, malam semalam.
Operasi pada pukul 8 malam di Kampung Pandan itu disertai 15 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur dan Pasukan Khas Taktikal (Pastak).
Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, sindiket tersebut mempunyai jaringan antarabangsa berpusat di Jakarta.
“Ini bukan pemalsuan biasa, mereka memiliki mesin cetak beresolusi tinggi, cap rasmi kedutaan dan menjalankan transaksi dalam talian.
“Ni adalah bentuk pemalsuan moden yang mengambil kesempatan di balik kemajuan teknologi,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, sindiket itu menawarkan cetakan Malpass dengan bayaran RM50, cap masuk keluar imigresen palsu, Indonesia dan Singapura (RM30), pemadaman cap keselamatan pasport (RM20) dan e-Pass PLKS palsu (RM50).
Selain itu, mereka turut menawarkan perkhidmatan memadam kesan dakwat cap keselamatan pada pasport dengan bayaran RM20 dan mencetak e-pass atau pas lawatan kerja sementara palsu RM50.
Seramai lima warga Indonesia berusia 35 hingga 65 tahun terdiri empat lelaki dan seorang wanita ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Selain tangkapan, pihak imigresen merampas komputer, mesin pencetak, dokumen rasmi Kedutaan Indonesia, cap dan pelekat hologram palsu, wang RM4,750 serta kereta Mazda.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen perjalanan sah serta Seksyen 15(1)(c) atas kesalahan tinggal lebih masa serta memiliki dokumen palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri dalang pemalsuan dokumen ‘gred A’ ditahan appeared first on Kosmo Digital.