Auto Added by WPeMatico

![]()
SEOUL – Korea Utara melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun hari ini, kata Ketua Turus Bersama (JCS) Seoul, beberapa hari selepas Pyongyang memberi amaran padah menanti berhubung latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Pyongyang baru-baru ini melenyapkan harapan perdamaian diplomatik dengan Korea Selatan iaitu sekutu keselamatan Washington dan menyifatkan usaha damai terbaru Seoul sebagai ‘sandiwara yang kekok dan menipu’.
“Seoul mengesan kira-kira 10 peluru berpandu balistik dilancarkan dari kawasan Sunan di Korea Utara menuju Laut Jepun sekitar pukul 1.20 tengah hari (waktu tempatan),” kata JCS dalam satu kenyataan.
Kementerian pertahanan Jepun turut mengesahkan pelancaran itu, dengan menyatakan di akaun X rasminya bahawa ‘projektil berkemungkinan peluru berpandu balistik dilancarkan dari Korea Utara’.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok berkata, Presiden Donald Trump berpendapat bahawa pertemuan dengan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un adalah idea bagus..
Washington berdekad-dekad mengetuai usaha melucutkan program nuklear Korea Utara, tetapi sidang kemuncak, sekatan, dan tekanan diplomatik yang dikenakan ke atas Pyongyang tidak berkesan.
Pentadbiran Trump sejak beberapa bulan lalu turut berusaha untuk menghidupkan semula rundingan peringkat tinggi dengan Pyongyang dan meninjau kemungkinan mengadakan sidang kemuncak bersama Jong-un tahun ini.
Trump berkata semasa lawatan ke Asia pada Oktober 2025 bahawa beliau ‘100 peratus’ terbuka untuk bertemu dengan Jong-un, kenyataan yang tidak dijawab oleh Korea Utara. – AFP
The post Korea Utara lancar 10 peluru berpandu balistik appeared first on Kosmo Digital.
